Projet NewUran @ PJ south dibangunkan Ibraco bernilai RM529 juta fokus pensijilan hijau
Projek pembangunan NewUrban @ PJ South di Lembah Klang yang dibangunkan Ibraco Berhad memfokuskan kepada gabungan konsep hijau, kemudahan moden dan rumah mampu milik untuk penghuninya menikmati kehidupan bandar yang praktikal dan mesra alam.
Dengan nilai Pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM529 juta, projek berkeluasan 6.02 ekar itu menawarkan 922 unit pangsapuri servis dalam dua blok 36 tingkat dengan saiz unit antara 550 hingga 1,000 kaki persegi.
Dilancarkan pada tahun 2024, projek itu menjadi lambang komitmen Ibraco terhadap usaha menyediakan kediaman mampu milik serta kehidupan lestari yang menyasarkan keluarga kecil, professional dan pembeli rumah pertama.
Ia sangat sesuai untuk pembeli yang mahukan rumah moden di lokasi strategik dengan rekaan menarik dengan konsep hijau dari segi pembangunannnya.
Projek itu terletak berhampiran Lebuhraya NPE dan plaza tol, memudahkan penduduk dengan akses laluan ke pusat bandar utama termasuk Bandar Sunway, Subang dan Puchong.
Kemudahan sekitar juga lengkap dengan 10 institusi pendidikan dalam radius 5 km, tujuh pusat membeli-belah dalam 8 km serta lima hospital dalam 10 km.
Ia menjadikan NewUrban sebuah kediaman yang sangat praktikal dan bernilai tinggi.
Pengarah Urusan Kumpulan Ibraco, Datuk Chew Chiaw Han berkata, kelestarian menjadi teras pembangunan projek itu dengan pelbagai ciri yang menekankan konsep hijau seperti digariskan dalam pensijilan GreenRE.
Katanya, kebanyakan unit dibina dengan orientasi Utara-Selatan untuk mengurangkan sinaran matahari secara langsung menjadikan ruang dalam rumah lebih sejuk secara semula jadi. “Ruangan podium di tingkat 9 pula menyediakan taman landskap, ruang berpokok, taman herba dan taman atas bumbung untuk menggalakkan interaksi komuniti.
“Sistem pengurusan air dan sisa mesra alam, pencahayaan semula jadi serta pengudaraan di lobi, tangga dan tempat letak kereta turut membantu menjimatkan tenaga.
“Kemudahan tambahan termasuk parkir basikal bertutup, stesen pengecas kenderaan elektrik dan akses mudah ke stesen pengangkutan awam,” katanya.
Dengan bimbingan arkitek bersijil ISO 14001, perunding Reka Bentuk Kelestarian Alam Sekitar (ESD) dan Pengurus GreenRE, projek ini mengamalkan amalan pembinaan lestari dari perancangan hingga pelaksanaan.
Kemudahan kitar semula turut disediakan untuk menggalakkan pemeliharaan alam sekitar jangka panjang.
Tambahnya, Ibraco turut membangunkan taman kejiranan awam bersebelahan projek, padang futsal, pavilion, stesen kecergasan, laluan jogging dan taman refleksologi menawarkan ruang rekreasi hijau untuk komuniti sekitar.
“NewUrban bukan sekadar membina rumah, tetapi membina komuniti yang lestari dan inklusif.
“Projek ini menggabungkan kualiti hidup, reka bentuk hijau dan kemudahan komuniti, selari dengan aspirasi rakyat Malaysia memiliki rumah berkualiti pada harga mampu milik,” katanya.
Dengan menekankan keseimbangan antara kemampuan milik, kualiti hidup dan kelestarian, NewUrban adalah bukti komitmen Ibraco untuk membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan generasi masa kini sambil menyokong agenda kelestarian negara.
Back to News