Untung bersih Q2 Ibraco melonjak lebih empat kali ganda kepada RM30.5 Juta

https://www.dagangnews.com/article/terkini/untung-bersih-q2-ibraco-melonjak-lebih-empat-kali-ganda-kepada-rm305-juta-56629

Pemaju hartanah dan kumpulan pembinaan Sarawak, Ibraco Berhad mengumumkan prestasi kewangan suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), dengan untung bersih melonjak lebih empat kali ganda tahun ke tahun (YoY) kepada RM30.5 juta, berbanding RM6.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi suku dikaji, hasil kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM193.0 juta (2QFY24: RM94.4 juta), didorong sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen, khususnya bahagian pembinaan.

Segmen pembinaan menyumbang 53.4% daripada hasil keseluruhan dengan RM103.1 juta, melonjak 195.4% YoY hasil pengiktirafan progresif projek infrastruktur di Sarawak.

 

Sementara itu, pembangunan hartanah menyumbang 39.8% atau RM76.9 juta, meningkat 46.8% YoY berikutan kadar jualan kukuh dan kemajuan projek berjalan.

 

Segmen lain turut mencatat pertumbuhan ketara: Kuari (+147.8% YoY kepada RM5.7 juta), Pembuatan (+95.8% YoY kepada RM4.7 juta), manakala segmen seperti pengurusan hartanah dan kelab mencatat RM2.7 juta (+12.5% YoY).

Untung kasar naik 40% YoY kepada RM35.7 juta, walaupun margin kasar susut kepada 18.5% berbanding 27.1% tahun lalu, disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada pembinaan yang lazimnya bermargin rendah.

Prestasi lebih baik ini turut disokong oleh pendapatan lain sebanyak RM20.4 juta, sebahagian besarnya hasil pampasan tanah yang diambil alih kerajaan.

Secara keseluruhan, margin untung bersih berkembang kepada 15.8% (2QFY24: 6.6%).

Untuk separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), Ibraco merekodkan hasil RM377.1 juta, meningkat hampir dua kali ganda berbanding RM174.6 juta pada 1HFY24, dengan untung bersih hampir empat kali ganda kepada RM44.1 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chew Chiaw Han, berkata Ibraco optimis terhadap pemulihan ekonomi Malaysia 2025.

“Kami berada dalam kedudukan strategik untuk menangkap peluang baharu melalui pembangunan bersepadu, pengembangan ke segmen pasaran baharu serta memperkukuh kehadiran di Malaysia Timur dan Barat,” katanya.

Antara projek utama termasuk Second Trunk Road di Kota Samarahan dan kerja infrastruktur bagi Kuching Urban Transportation System (Rembus–Stutong).

Di bahagian pembangunan hartanah, projek perdana seperti NorthBank (123 ekar) dan Arden City (76 ekar) terus mencatat kemajuan positif, manakala pelancaran Residensi NewUrban (922 unit) menandakan kemasukan lebih kukuh ke Semenanjung Malaysia.

Setakat 30 Jun 2025, Ibraco mempunyai jualan belum dibil RM301.9 juta serta buku pesanan tertunggak RM878.6 juta, memberikan gambaran pendapatan yang kukuh untuk masa depan.

Back to News
Top