Pemaju hartanah dipelawa teroka potensi Sibu

https://www.tvsarawak.my/2025/04/18/pemaju-hartanah-dipelawa-teroka-potensi-sibu/

Bandar ini terus membuka ruang kepada lebih ramai pemaju hartanah bagi merancakkan pembangunan serta menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata penglibatan sektor swasta amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.

“Kita tidak boleh harapkan kerajaan sahaja. Kerjasama awam-swasta adalah kunci utama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Galeri Jualan baharu Ibraco Berhad di Jalan Tong Sang pada Jumaat.

Menurutnya, langkah Ibraco melebarkan sayap ke Sibu adalah satu perkembangan positif.

“Saya telah berbincang dengan pihak Ibraco sejak dua tahun lalu untuk mempertimbangkan Sibu sebagai lokasi pembangunan.

“Saya gembira mereka akhirnya membuat keputusan untuk melabur di sini,” jelasnya.

Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata Sibu sebagai bandar utama zon tengah memiliki potensi besar untuk diterokai.

Justeru, beliau mengajak lebih ramai pemaju berwibawa melihat peluang yang ada di Sibu.

“Kita mahu lihat lebih banyak pembangunan berkualiti yang dapat meningkatkan ekonomi tempatan serta taraf hidup rakyat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru orang ramai menyokong projek pembangunan oleh pemaju yang dipercayai.

“Sibu adalah sebahagian daripada visi pembangunan Sarawak, dan kita komited memastikan ia terus berkembang seiring dengan kawasan lain di negeri ini,” tambah beliau.

Terdahulu, pihak pemaju hartanah Ibraco Berhad berkata bahawa penubuhan Galeri Jualan tersebut adalah bukti komitmen mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di wilayah tengah Sarawak.

Jelas Ibraco, pengembangan strategik ini disokong oleh pasukan jualan yang berdedikasi untuk memberikan sokongan segera dan berterusan kepada pembeli rumah serta pelabur di kawasan tersebut.

Bagi meraikan pembukaan tersebut dan juga Promosi Raya syarikat, Ibraco akan mengadakan acara selama tiga hari dari 18 hingga 20 April, yang berlangsung setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang.

“Kami teruja untuk membawa kepakaran dan pembangunan ikonik kami lebih dekat kepada masyarakat Sibu. Dengan Galeri Jualan baharu ini, kami bertujuan untuk meningkatkan penglibatan pelanggan dengan menawarkan sokongan di lokasi bagi mereka yang berminat dengan projek kami,” kata jurucakap Ibraco.

Back to News
Top