Ibraco perluas misi lestari social melalui pendidikan di NorthBank
Ibraco Bhd, pemaju hartanah dan pembinaan terkemuka, terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan komuniti dengan meluaskan misi sosial melalui pendidikan.
Dalam kerjasama strategik dengan HELP Education Group, Ibraco menubuhkan Sekolah Tunku Putra-HELP (TPHS) sebagai sebahagian daripada pembangunan perbandaran utamanya, The NorthBank, yang bertujuan meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi komuniti di sekitar kawasan tersebut.
Sekolah Tunku Putra-HELP yang telah beroperasi sejak Januari 2020, menawarkan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa dari peringkat prasekolah hingga A Level. Pelajar berpeluang mengikuti kurikulum pendidikan British dengan kelayakan IGCSE dan A Level, selain kurikulum kebangsaan yang mengutamakan silibus matematik dan sains bertaraf antarabangsa.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, penggabungan keunggulan pendidikan Barat dan Timur ini bertujuan untuk membangunkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di kalangan pelajar dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran abad ke-21.
Menurut Datuk Pengarah Urusan Ibraco, Chew Chiaw Han, syarikat tidak hanya fokus kepada pembangunan kediaman, tetapi kami berusaha untuk mencipta komuniti yang berkembang maju.
"Melalui kerjasama ini, kami dapat menyediakan pengalaman pembelajaran yang transformatif yang mempersiapkan pelajar untuk masa depan dan menggalakkan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi," katanya.
Di samping pencapaian akademik, TPHS turut menawarkan peluang kepada pelajar untuk mengikuti program berprestij seperti The Duke of Edinburgh's International Award, yang membekalkan mereka dengan kemahiran penting untuk kehidupan, termasuk kecergasan, semangat pengembaraan, dan aktiviti sukarela dalam komuniti.
Pada tahun ini, pelajar TPHS juga dipilih untuk mewakili Sarawak dan Malaysia dalam Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA 2025) yang akan diadakan di Vietnam, sebuah platform penting untuk menunjukkan kemajuan teknologi dan kemahiran menyelesaikan masalah di peringkat global.
Ibraco, yang turut melabur dalam projek infrastruktur utama kerajaan seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching, turut aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pembangunan The NorthBank selari dengan visi kerajaan Sarawak dalam pendigitalan, inovasi, dan tenaga. Dalam tempoh lima tahun akan datang, Ibraco dan TPHS akan memberi fokus kepada penambahbaikan kurikulum, pengukuhan penglibatan komuniti, dan penciptaan persekitaran yang selamat serta inklusif bagi pelajar dan keluarga.
Dengan tumpuan yang kuat terhadap kelestarian, pendidikan, dan pembangunan komuniti, Ibraco dan TPHS memastikan bahawa visi mereka untuk membina komuniti yang mampan dan progresif dapat diteruskan melalui kerjasama yang kukuh ini. Pemimpin Ibraco berharap kerjasama ini akan terus memberikan impak positif kepada masyarakat Sarawak serta generasi masa depan.