Ibraco jual tanah berharga RM35.4 juta di Kuching kepada NorthBank Specialist Hospital

https://www.dagangnews.com/index.php/article/terkini/ibraco-jual-tanah-berharga-rm354-juta-di-kuching-kepada-northbank-specialist-hospital-61103

Ibraco HQ

Ibraco Berhad memeterai perjanjian pelupusan tanah seluas 4.2 ekar di Kuching, Sarawak dengan NorthBank Specialist Hospital Sdn. Bhd dan Kuching Health Holdings Sdn. Bhd pada harga tunai RM35.4 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ibraco berkata, tanah tersebut akan dibangunkan sebagai hospital pakar persendirian.

“Pelupusan ini dijangka memberikan keuntungan bersih kepada syarikat sebanyak RM22 juta.

“Tanah yang dijual itu mempunyai tempoh pegangan 60 tahun dan diperoleh oleh Ibraco pada 14 November 2011. Nilai pasaran tanah dianggarkan sebanyak RM34 juta berdasarkan penilaian bebas pada 7 November 2024,” katanya dalam makluman tersebut.

NorthBank Specialist Hospital Sdn. Bhd yang ditubuhkan pada 11 April 2019 akan menguruskan hospital persendirian tersebut. Syarikat itu dimiliki sepenuhnya oleh Kuching Health Holdings Sdn. Bhd dan masih belum memulakan operasi.

Kuching Health pula merupakan subsidiari milik penuh HMI Medical, sebuah kumpulan penjagaan kesihatan serantau yang beroperasi di beberapa negara ASEAN dan menawarkan perkhidmatan kesihatan termasuk hospital, diagnostik, latihan, dan perkhidmatan korporat.

Ibraco berkata, harga jualan tanah dipersetujui berdasarkan asas persetujuan bersama dan mengambil kira nilai pasaran semasa.

“Penilaian tanah dibuat menggunakan kaedah perbandingan oleh firma penilai bebas, CH Williams Talhar Wong & Yeo.

“Pembayaran harga jualan akan dilakukan secara berperingkat, termasuk bayaran 5% semasa tandatangan SPA, 55% selepas kelulusan pembinaan hospital oleh Kementerian Kesihatan, 25% selepas lesen operasi diperoleh dan 15% baki selepas kelulusan akhir diperoleh,” kata syarikat pemaju hartanah itu.

Pelupusan ini tertakluk kepada syarat prasyarat seperti kelulusan pembangunan oleh pihak berkuasa negeri, kelulusan pemindahan tanah dan ekuiti asing, kelulusan Kementerian Kesihatan, serta kelulusan pelan bangunan oleh pihak berkuasa tempatan.

Lembaga Pengarah Ibraco menjangkakan pelupusan ini dapat diselesaikan dalam tempoh 28 hari bekerja selepas semua syarat prasyarat dipenuhi.

Pelupusan tanah ini dijangka tidak menjejaskan modal berbayar atau pegangan saham pemegang saham utama Ibraco, manakala aset bersih syarikat akan meningkat disebabkan keuntungan daripada pelupusan tersebut.

Keuntungan per saham syarikat juga dijangka meningkat daripada 9 sen kepada 13 sen sekiranya pelupusan ini diselesaikan pada awal tahun kewangan 2025.

Ibraco berkata, hasil daripada pelupusan ini akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan hartanah sedia ada, khususnya fasa pertama NorthBank Business Exchange, yang merangkumi pusat membeli-belah, menara pejabat dan servis apartmen dalam kawasan seluas 123 ekar di Kuching.

“Selain itu, sebahagian dana akan digunakan untuk keperluan modal kerja harian syarikat dan kos berkaitan pelupusan seperti yuran profesional, cukai, dan perbelanjaan lain.

“Lembaga Pengarah Ibraco menegaskan bahawa pelupusan tanah ini adalah kepentingan terbaik bagi syarikat dan akan meningkatkan aliran tunai serta menyediakan dana tambahan untuk pembangunan projek dan operasi harian,” katanya.

Back to News
Top